Tular mesej tersusun dakwa tiada tilawah al-Quran tahun ini
Tular hantaran yang dimuat naik sejumlah pemilik media sosial yang mendakwa tiada majlis tilawah al-Quran diadakan tahun ini.
Ada juga hantaran yang mendakwa Malaysia tidak lagi menganjurkan pertandingan tilawah dan fokus kepada konsert.
Mesej tersusun yang cuba memburukkan kerajaan itu dapat dikesan dengan mudah kerana ayat yang digunakan mereka kelihatan serupa (identical) dengan sedikit olahan.
“Kenapa zaman Madani tak ada tilawah al-Quran. Biasanya ada je setiap tahun”.
“Ramadan dah nak berakhir. Kau orang perasan tak tahun ni ada ke tilawah al-Quran?”.
“Tahun ni tak ada tilawah al-Quran. Baru perasan kan”.
Demikian antara hantaran dimuat naik mereka di Facebook.
Hantaran itu dipercayai dinaikkan oleh tentera siber pembangkang dalam usaha memburukkan kerajaan. Kemungkinan ia juga disebarkan sebahagian individu yang termakan dengan kenyataan palsu tersebut
Sedangkan pada 13 Feb lepas, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri telah berkata bahawa negeri itu akan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 HIjrah/2024.
Laman Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah memuat naik hantaran berhubung Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei nanti di Kuantan, Pahang.
Susulan apa yang berlaku, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk meneliti dan mengenal pasti mereka yang terbabit dengan “operasi” itu.
“Sejak semalam, kementerian ini telah mendapati ada siri mesej yang tersusun, satu tindakan yang dimulakan beberapa pihak khususnya di platform media sosial Facebook yang membuat tuduhan dangkal dan jahat.
“(Mereka) menuduh tahun ini tak ada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
“Mesej ini diulang dengan corak sedikit berbeza kalau nak dibandingkan dengan corak yang telah kita saksikan sebelum ini.
“Saya telah arahkan SKMM untuk meneliti, mengenal pasti semua yang terlibat dalam operasi ini dan kita akan ambil beberapa tindakan yang bersesuaian dan tegas memandangkan ada pihak-pihak tertentu yang cuba memesong fakta,” katanya ketika sidang media di Putrajaya semalam.
BACA JUGA ‘Walau dia pembayar zakat terbesar tapi juga penghina agama yang sangat…’