‘Walau dia pembayar zakat terbesar tapi juga penghina agama yang sangat…’

Seorang TikTokers bersetuju dengan kempen boikot perniagaan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman walaupun dia pembayar zakat terbesar di Selangor.

Tanpa menyebut nama usahawan kontroversi itu, Nur Fariha Abdullah berpendapat pembayar zakat terbesar berkenaan juga adalah penghina agama yang sangat tinggi.

“Adakah sebab dia pembayar zakat yang besar itu boleh membuatkan dia mempunyai lesen yang kukuh untuk menghina dan mempersenda agama kita terutamanya di bulan mulia Ramadan?

“Sampai bila kita perlu melayan dan memperbodoh diri kita untuk percaya segala drama dan strategi sampah mereka anak beranak?” bidasnya menerusi TikTok yang kemudian tular.

Untuk rekod, Aliff Syukri pernah dilapor sebagai pembayar zakat terbesar di Selangor dengan jumlah hampir RM1 juta.

Dia meraih banyak pendapatan hasil tiga jenis perniagaan yang diusahakannya sejak mula berniaga pada 2007.

Aksi jelik dalam video teaser Hari Raya yang dianggap menghina Ramadan.

Mengulas lanjut, Nur Fariha menegaskan bahawa anak yang baik sekali ibu tegur, takkan ulang lagi perkara yang serupa.

“Ibu yang hebat, sekali dia menegur, anak akan akur.

“Malangnya, mereka menggunakan skrip yang serupa bertahun-tahun dan berulang-ulang. Di hujungnya, kita masih bagi mereka peluang,” ujarnya.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam percakapan Aliff Syukri di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya.

Menurut SKMM, rakaman percakapan itu adalah susulan aduan yang diterima berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.

Setelah kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,” menurut kenyataan SKMM.

Jelasnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588].

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Pegawai penyiasat menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video,” kata SKMM lagi.

BACA JUGA Mufti Wilayah ini wajar rakyat ‘follow’ rapat

Â