Ulang tahun PKR ke-25: Ini titipan khas dari Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua bahawa kuasa adalah amanah dan bukannya keistimewaan.

Justeru itu katanya, hak dan kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan dalam membentuk kebijakan.

”Tugas dan tanggungjawab yang digalas hari ini adalah amanah yang mesti kita pikul sebaiknya dengan matlamat membawa perubahan yang bermakna.

”Selamat ulang tahun KEADILAN yang ke-25 kepada seluruh anggota dan pimpinan KEADILAN.

“KEADILAN berpasak atas semangat islah yang kuat,” ujar tokoh berpengaruh berusia 76 tahun itu sempena ulang tahun parti yang ditubuhkan pada 1999.

Keadilan ditubuhkan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998.

Parti yang sinonim dengan kata keramat ‘Reformasi’ itu ditubuhkan pada 4 April 1999 selepas diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggunakan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Keadilan menyertai pilihan raya pertamanya pada usia parti itu tujuh bulan pada 1999.

Selepas itu parti berkenaan mula bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) membentuk PKR pada 3 Ogos 2003, dengan Dr Wan Azizah sebagai presiden pertama.

BACA JUGA Meski dilanda kemarau, Pengerusi KADA optimis ada ‘jalan keluar’