302 lokasi Program Jualan Rahmah Aidilfitri, Pulau Pinang paling banyak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan Program Jualan Rahmah (PJR) Aidilfitri melibatkan 302 lokasi di seluruh negara bermula semalam hingga 9 April ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program kali ini melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

”Selain penjualan barang-barang kering sebagaimana kebiasaan, PJR Aidilfitri juga menawarkan jualan barangan keperluan harian lain seperti ayam, daging lembu, beras, rempah-ratus dan sebagainya.

“Ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat untuk membeli keperluan asas pada harga lebih murah khususnya dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Armizan memaklumkan, maklumat pelaksanaan PJR Aidilfitri boleh diakses melalui portal KPDN.

Beliau berkata, sebanyak 18 lokasi PJR di Johor, Kedah (21); Kelantan (14); Kuala Lumpur, (4); Melaka (13); Pahang (15), Perak (25); Perlis (3); Pulau Pinang (42); Putrajaya (1); Selangor (36); Terengganu (22) dan Negeri Sembilan (13).

“Sebarang maklumat boleh diakses melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

“Selain itu di Sabah pula terdapat 29 lokasi PJR Aidilfitri, manakala Sarawak 45 dan Labuan satu,” ujarnya lagi,

Untuk rekod, PJR digerakkan oleh KPDN bermula awal tahun 2023 iaitu pada 11 Januari, menawarkan barang keperluan dengan harga yang lebih murah.

Konsep Rahmah diperkenalkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

BACA JUGA Ibu Neelofa raih lebih RM100,000 jualan ‘live’ dengan Datuk Red