Menjelang Aidilfitri, Dr Akmal ditahan di IPD Kota Kinabalu

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini ditahan di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkenaan mengesahkan penahanan itu menerusi Facebook rasminya.

“Saya ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini walaupun sudah dijadualkan untuk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi.

“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya.

“Doakan semuanya dipermudahkan,” ujarnya yang lantang meneruskan kempen boikot KK Super Mart.

Dalam masa sama, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan beliau tidak akan berganjak walau seinci dengan pendiriannya.

Sebelum ini, Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Beliau juga memberi amaran bahawa Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart jika pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan berkenaan.

BACA JUGA Nenek bintang remaja Man United ini rupanya dari Selangor