Pemilik Rumah Mesra Rakyat dibantu rancang pewarisan

Perdana Menteri berkata, pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) dibantu untuk menerima produk perancangan pewarisan susulan pemeteraian perjanjian strategik antara Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB).

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan pemeteraian perjanjian itu berkata, kerajaan melalui SPNB menawarkan Program RMR khususnya kepada golongan isi rumah berpendapatan bawah RM5,000.

Mereka terbabit tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina kediaman sendiri yang sempurna dan selesa.

“Alhamdulillah dengan adanya perjanjian ini, pemilik Rumah Mesra Rakyat akan secara automatik ditawarkan produk terpilih AmanahRaya sebagai perancangan pewarisan seperti hibah dan wasiat ke atas harta tersebut.

“Ini adalah sebagai nilai tambah kepada produk SPNB terutama Program RMR dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu juga, perihal wasiat akan dapat dipermudah tanpa membebankan rakyat berpendapatan rendah dengan kos guaman tinggi sekali gus perlindungan untuk yang tersayang turut terjamin.

BACA JUGA ‘Tidak peduli siapa, jangan diugut jika menyentuh 3R’