Polis terima dua laporan tentang tindakan, ucapan KP UMNO
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima dua laporan berkaitan ucapan dan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
”Siasatan telah dijalankan ke atas beliau (Muhamad Akmal) dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Dalam kenyataan sama, Razarudin menasihatkan orang ramai agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan mahkamah.
Pagi tadi, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka mengesahkan dirinya telah ditahan di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu.
”Saya ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini walaupun sudah dijadualkan untuk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi.
“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan,” katanya di Facebook.
BACA JUGA Menjelang Aidilfitri, Dr Akmal ditahan di IPD Kota Kinabalu