Kerajaan kesan 47 isu 3R, 1,454 kandungn diturunkan

Sistem e-Sepakat telah mengesan 47 isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) pada suku pertama tahun ini berbanding 21 isu pada tempoh sama tahun lepas.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan hari ini berkata, isu yang melibatkan agama, kenyataan berbaur kebencian dan perkauman itu menunjukkan peningkatan sebanyak 123 peratus.

Beliau berkata 1,454 kandungan berkaitan 3R diturunkan daripada platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lepas, yang dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengandungi ucapan kebencian kaum (588 kes), ucapan kebencian agama (727) dan ucapan kebencian institusi diraja (139).

Bagi statistik laporan berkaitan isu pergaduhan kaum yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, menurutnya sebanyak 162 kes direkodkan di seluruh negara dengan kes tertinggi di Johor iaitu 53 kes, Selangor (34 kes) dan Pulau Pinang (23 kes).

“Walaupun Kementerian Perpaduan Negara tiada kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan dari segi perundangan, tetapi kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan.

“Antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang sedang dilaksanakan oleh JPNIN ialah pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi melalui sistem e-Sepakat,” katanya.

Sistem e-Sepakat merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan sebagai mekanisme gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu itu secara digital.

BACA JUGA Pulak dah… Bintang remaja Manchester United nafi neneknya dari Selangor