‘Bangkang itu perkara biasa, tapi jangan…
”Bagi saya mengkritik teguran, bangkangan itu perkara biasa, cuma kita tak setuju maki hamun.”
Itu kata Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan blok pembangkang agar berhati-hati dalam memberi kritikan atau teguran berkaitan isu beras di negara ini.
Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan itu berkata, tidak salah memberi teguran perkara yang salah, namun sebaiknya ia dilakukan dengan cara yang lebih sesuai.
“Pembangkang itu hak mereka untuk terus mengkritik.. saya pun biasa jadi pembangkang.
”Bagi saya mengkritik teguran, bangkangan itu perkara biasa, cuma kita tidak setuju maki hamun.
”Mengkritik itu adalah perkara yang kita boleh terima, bahkan pandangan pun kita boleh terima.
“Teguran kita boleh terima… tapi maki hamun kita tak boleh terima,” katanya dalam satu video yang berlegar-legar di media sosial, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja hadir ke Majlis Pelancaran Semarak Syawal Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.
Beliau berkata, sempena kedatangan Aidilfitri minggu hadapan, pihaknya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan Jualan Semarak Syawal Agro Madani di 753 lokasi di seluruh negara bermula hari ini.
Menurut Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkenaan , inisiatif daripada pihaknya itu bertujuan membolehkan pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan potongan harga hingga 30 peratus.
”Program ini juga adalah langkah KPKM merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan agensi berkaitan turun padang, membantu meringankan beban pengguna menjelang musim perayaan bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga yang rendah,” ujar beliau lagi.
BACA JUGA Lepas buka puasa, Rafizi selamba ‘tembak’ Radzi