Lepas buka puasa, Rafizi selamba ‘tembak’ Radzi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli selamba kembali menyindir Datuk Dr Radzi Jidin dengan mengaitkan apa yang dilakukan pemimpin Perikatan Nasioal (PN) itu semasa menjadi Menteri Pendidikan.

Dalam respon yang dimuatnaik di platform X sejurus buka puasa, Rafizi turut menghargai ‘nasihat’ Radzi yang antara lain memintanya berehat.

“Terima kasih atas nasihat. Saya terima dengan terbuka.

“Lagi pun ini bulan Ramadan, memang bulan untuk muhasabah.

“YB ada muhasabah tak semasa YB jadi Menteri Pendidikan, prestasi pendidikan jatuh merudum sehingga learning loss anak-anak kita mencecah 4-5 tahun?

“Maknanya bagi murid umur 10-11 tahun, jika dibanding dengan Singapura, murid kita ketinggalan 4-5 tahun kebelakang?

“Ini tanggungjawab yang telah saudara sia-siakan dan kesannya kepada jutaan anak-anak.

“Muhasabahlah. Insaf sedikit kerana semuanya dicatatkan,” kata Rafizi semalam beserta fakta bukan hanya persepsi.

Rafizi (kiri) dan Radzi

Sebelum itu, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menerusi klip video berdurasi dua minit mempersoal bila lagi “formula-formula” Rafizi hendak dilaksanakan.

“Kalau dulu macam-macam YB (Rafizi) bercerita boleh buat. Jadi, bila rakyat tertanya-tanya, YB dengar tentulah lagi penat YB nak jawab.

“Sebab itu, saya ingin mengambil kesempatan ini dengan memberi sedikit nasihat kepada YB, apa kata YB bersaralah dahulu. Berehat.

“Jadi, waktu YB berehat, mungkin YB ada formula baru pula.

“YB mungkin boleh datang dengan formula baru yang mungkin jauh lebih hebat,” perli pemimpin Bersatu itu lagi.

BACA JUGA Mohamad jamin bekalan makanan cukup Aidilfitri ini

Â