Mohamad jamin bekalan makanan cukup Aidilfitri ini

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melakukan persiapan awal bagi memastikan bekalan makanan dan bahan mentah mencukupi sempena sambutan Aidilfitri, minggu depan.

Justeru menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana perkara tersebut akan dipastikan kementeriannya (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Mohamad Sabu

”Pihak kementerian memberi jaminan bekalan daging, ayam dan sayur sayuran cukup sepanjang sambutan Aidilfitri.

“Kita yakin pengguna tidak akan hadapi masalah mendapatkan barang keperluan Hari Raya kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa dibuat oleh agensi di bawah KPKM,” katanya lapor Astro Awani.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, KPKM melalui FAMA juga akan memastikan bekalan di setiap lokasi Jualan Semarak Syawal Agro Madani, mencukupi.

Jualan Semarak Syawal Agro Madani diadakan di 113 lokasi daripada 753 outlet pasar tani di seluruh negara bermula 3 April lalu sehingga menjelang sambutan Aidilfitri.

BACA JUGA SKMM siasat empat individu, beberapa lagi akan dipanggil