Kecoh kalimah Allah di tapak kasut, sekali pakar khat buka mulut

Belum pun reda isu kalimah Allah pada stoking dijual di sebuah kedai serbaneka popular, timbul pula kontroversi baru membabitkan jenama kasut tempatan yang didakwa mencetak kalimah suci itu di tapak kasut.

Menerusi pemerhatian Harapan Daily, terdapat logo yang dicetak pada tapak kasut tumit tinggi keluaran jenama tersebut.

Sekali pandang, lakaran yang didakwa kalimah Allah itu lebih menyerupai bentuk tali pada kasut tumit berkenaan.

Namun lain pula yang berlaku apabila pengguna media sosial mendakwa logo tersebut lebih menyerupai kepada kalimah Allah.

Ada yang mempertahankan apa yang mereka lihat, dan sebahagian besar lagi yakin bahawa ia adalah bentuk yang melambangkan tali berlilit pada kasut tersebut.

Apa yang menarik perhatian, salah seorang individu yang mahir menggunakan khat juga menjelaskan bahawa logo yang terdapat pada tapak kasut tersebut sama sekali tidak sama dengan kalimah Allah.

Tambahnya, agak sukar untuk mengatakan ia sebagai kalimah Allah berikutan sifat huruf itu tidak lengkap dan tidak menyerupai mana-mana seni Khat.

“Saya belajar khat dan jadi setiausaha persatuan khat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dahulu.

“Pada saya susah sikit nak nampak itu kalimah Allah sebab yang alif tu nampak macam huruf ro’.

“Dan yang dikatakan huruf ha’ dekat belakang tu tak cukup sifat huruf ha’. Khat Dwan bukan, Khat raqa’ah bukan, khat farasi pun bukan kalau nak kata itu alif’ dan ha’.

“Sepintas lalu macam tandatangan,” kata pengguna Facebook Mohd Sabri Mahmud dalam satu tangkap layar yang beredar di media sosial.

Dalam pada itu, ada yang menjelaskan bahawa seni ini penuh dengan imaginasi dan ia bergantung kepada imaginasi kita sendiri.

“‘Art’ ni penuh berimaginasi dan seni. Sudut apa kita berimaginasi (itu) atas kita.

“Kita fikir ular, ular lah dia. Kita fikir ulat, ulat lah. Sama macam ini lah. Kalau kita kata itu kalimah Allah, kalimah Allah lah. Ianya terletak pada sudut imaginasi dan pandangan kita..,” kata Hishamsepein.

Bagaimanapun sehingga kini pihak syarikat kasut terbabit masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu yang menjadi bualan ramai.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh juga memberitahu, dalam kes ini beliau mengambil pendekatan ‘husnuzon’ iaitu bersangka baik dan menunggu sehingga penjelasan dikeluarkan pengeluar kasut tersebut.

BACA JUGA Dapat dekat hang semua lingkup, penyokong bengang Sanusi ‘claim’ banyak tolong KDA FC