‘Upacara tahunan oleh rakyat Kelantan’, lebuh raya kotor dengan sampah bertaburan

Lebuh raya Lingkaran Tengah Utama Kuala Lumpur-Gua Musang terus menjadi bualan ramai disebabkan sikap segelintir pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati terutama ketika singgah berehat di tepi laluan tersebut.

Mereka ibarat menjadikan lebuh raya tersebut sebagai tong sampah terbesar hanya kerana ketiadaan kemudahan hentian rehat dan rawat (R&R).

Menerusi video dikongsi pengguna aplikasi X, dapat dilihat kawasan sekitar tepi lebuh raya yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) itu dipenuhi sampah sarap.

Selain itu beberapa gambar yang dikongsikan pengguna di Facebook pula, terlihat sampah plastik makanan dan minuman dibuang secara merata di kawasan semak sepanjang jalan tersebut.

Ia mengundang rasa geram dan marah dari orang ramai yang melihat situasi tersebut.

Ada yang menyindir, mengatakan ia ibarat upacara tahunan yang mesti dilakukan, seolah tiada kesedaran sivik biarpun isu itu sentiasa menjadi perbincangan hangat.

Seorang pengguna @wentkt, menyelar perbuatan itu yang seolah-olah sudah sebati dalam diri masyarakat Malaysia.

“Teruk juga ni. Macam trademark kot buang sampah di sini,” luahnya.

Namun, ada pula suara mengatakan bahawa ia berlaku disebabkan mentaliti segelintir rakyat Kelantan yang tidak dapat diubah.

“Aku duduk Kelantan dah dekat puluh tahun sebab kerja sini. Memang majoriti tempat atau kawasan rumah di Kelantan memang macam ini.

“Memang mentaliti macam tu dah jadi normalisasi. Nak cakap lebih-lebih takut kena sumpah,” komen @YuiYunzArtist.

BACA JUGA Apa khabar Widad yang dapat banyak projek di Kedah?