Wan Fayhsal gesa kerajaan bentang RUU355 untuk ‘elak berdosa’

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan untuk segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) 355 bagi mengelakkan daripada menanggung dosa kerana tidak melaksanakannya.

Wakil rakyat Bersatu itu berkata, pindaan tersebut penting bagi mengembalikan kedudukan Mahkamah Syariah selepas beberapa pihak mencabar kuasanya.

“Saya menyokong penuh bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN) bahawasanya RUU 355 ini perlu dibentangkan oleh kerajaan dalam masa terdekat supaya dosa kita tidak ditanggung kerana tidak menjalankan undang-undang syariah.

“Sebarang usul atau pindaan akta yang ingin diperkenalkan untuk memperkasa mahkamah syariah saya akan sokong,” ujarnya dalam hantaran video di Facebook pada semalam.

Katanya lagi, orang bukan Islam tidak perlu membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

“Jangan pandai-pandai membuat sebarang kenyataan yang boleh membuatkan kaum Melayu dan Islam berasa tidak senang,” katanya.

Sebaik pindaan itu dibentang, Ketua Pemuda PN itu berkata, ahli parlimen boleh membahaskannya dan membuat undian di Dewan Rakyat.

“Sudah tiba masanya ia dipinda untuk memperkasakan mahkamah syariah dengna meningkatkan tahap hukumannya yang tidak cukup hari ini, agar mahkamah syariah dipandang tinggi dan serius oleh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam,” katanya lagi.

Wan Fayhsal turut memberitahu orang bukan Islam supaya tidak masuk campur dalam hal ehwal agama itu.

Dia berkata undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam, manakala orang bukan Islam boleh merujuk mahkamah sivil.

Sebelum ini, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menggesa Peguam Negara campur tangan terhadap langkah kerajaan Kelantan untuk menggubal semula peruntukan jenayah syariah yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengingatkan supaya MCCBCHST tidak mencampuri hal-ehwal dan pentadbiran agama Islam sesuai dengan kedudukan khas serta istimewanya sebagai agama Persekutuan.

BACA JUGA Dapat dekat hang semua lingkup, penyokong bengang Sanusi ‘claim’ banyak tolong KDA FC