Hentikan fikiran paranoia, bertabayyunlah

Exco Pemuda AMANAH Nasional Fadhli Umar Aminolhuda menyelar sikap segelintir masyarakat yang berfikir secara paranoia dan menggesa mereka untuk bertabayyun

“Pemuda AMANAH ingin menegur sikap segelintir masyarakat yang sering berfikir secara paranoia sehingga ke tahap semua hal dianggap mencabar dan menghina Islam, susulan isu logo kasut mirip kalimah Allah.

“Pemuda AMANAH memilih untuk mengutamakan amalan tabayyun dalam isu yang membabitkan logo yang didakwa mirip dengan kalimah Allah.

“Konsep tabayyun sangat penting dalam membuat penilaian dalam sesuatu perkara. Tabayyun yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Jadi, berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan maklumatnya bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian.

Beliau membuat kenyataan susulan kontroversi logo syarikat Verns yang dikatakan mirip kalimah Allah. Ada juga pihak yang mendakwa sebuah hotel mempunyai nama yang mirip kalimah Allah.

Fadhli turut mengingatkan umat Islam surah al-Hujurat ayat ke-6 berkenaan tabayyun.

“Seperti mana, Allah berfirman dalam Surah Al Hujurat ayat ke 6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

“Pemuda AMANAH juga ingin berpesan kepada seluruh umat islam di Malaysia bahawa setiap tindakan yang kita lakukan perlu mempunyai nilai kesederhanaan (wasatiyyah) dan tidak melampau.

“Pemuda AMANAH menyeru kepada semua pihak untuk mengambil iktibar dari apa yang berlaku kebelakangan ini namun selidikilah dan bertabayyunlah.”

BACA JUGA: Kecoh kalimah Allah di tapak kasut, sekali pakar khat buka mulut