Ingatkan kerja umum raya dan puasa je, tak tahu pula ini tugas Penyimpan Mohor Besar Raja-raja

Setiap kali tiba Ramadan, sosok paling dinanti-nantikan seluruh umat Islam di negara ini sudah semestinya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sebagai Penyimpan Mohor Besar, Syed Danial bertanggungjawab mengumumkan tarikh permulaan puasa dan hari raya menurut titah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Namun, di kala orang ramai teruja dengan pengumuman itu, tidak ramai mengetahui pesara kerajaan itu juga mempunyai peranan lain yang lebih besar.

Berusia 80 tahun, Syed Danial sebenarnya menggalas tanggungjawab untuk menyediakan agenda Mesyuarat Majlis Raja-Raja Hari Pertama dan Kedua, tiga kali setahun.

Selain itu, beliau perlu menyediakan minit Mesyuarat Majlis Raja-Raja Hari Pertama dan mengedarkan kepada anggota pada hari yang sama.

Menguruskan hal-hal pelantikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dan menguruskan kenderaan kumpulan kerajaan dan pesawat khas kegunaan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Namun untuk menjadi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, seseorang itu perlulah menjadi pegawai kanan kerajaan yang masih berkhidmat atau bersara.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) selama 32 tahun di pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan.

Beliau juga pernah ditempatkan di negeri Sabah, Sarawak, Perak, Kedah dan Perlis semasa menjawat jawatan PTD pada Mei 1967 sehingga Disember 1999.

Selepas bersara pada 2002, Syed Danial dilantik untuk menjadi Datuk Paduka Maharaja Lela di Istana Negara sehingga 2004.

Biodata

Dilahirkan pada 30 November 1944, Syed Danial membesar di Georgetown, Pulau Pinang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kelawai.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Perak sehingga tamat persekolahan.

Selepas menamatkan sesi persekolahan, Syed Danial melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Malaya pada 1967.

Setelah itu, beliau meyambung pengajian akademiknya di luar negara di University of Wisconsin yang terletak di Amerika Syarikat.

BACA JUGA Imam di Makkah pun solat pakai cermin hitam, begitulah kalau dah busuk hati