Menjelang Aidilfitri: Menteri sekali lagi ingatkan ‘Smart Lane’ lebuh raya diaktifkan
Sempena musim perayaan ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan 18 lokasi ‘Smart Lane’ di sepanjang lebuh rayanya bertujuan untuk menampung peningkatan jumlah trafik.
Laporan media menyebut, pada musim perayaan Aidilfitri kali ini, dijangka jumlah pengguna trafik mencapai sekitar 2.1 juta pada waktu puncak iaitu peningkatan 15 peratus berbanding 1.8 juta pada hari-hari biasa.
PLUS menjangkakan waktu puncak trafik bagi musim perayaan kali ini adalah pada 5, 6, 8, 9, 12, 13, dan 14 April 2024.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu hantaran di Facebooknya pula berharap pengguna lebuh raya tidak lagi keliru tentang penggunaan ‘Smart Lane’.
“Kalau pada musim perayaan yang lalu, ramai keliru dengan ‘Smart Lane’, tahun ini saya berharap, apa yang terjadi tidak berlaku lagi.
“Setiap hari, hebahan tentang pengaktifan ‘Smart Lane’ di lebuh raya giat dilaksanakan.
“Saya kongsikan sekali lagi info mengenai Smart Lane ini, kalau-kalau ada yang terlepas pandang,” tulis beliau.
PLUS menjangkakan waktu puncak trafik bagi musim perayaan kali ini adalah pada 5, 6, 8, 9, 12, 13, dan 14 April 2024.
Turut dilaporan bahawa beberapa penambah baikan dibuat bagi memastikan kelancaran orang ramai untuk memanfaatkan ‘Smart Lane’, antaranya pemasangan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda elektronik mudah alih untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi yang tertentu.
Selain itu, papan-papan tanda peringatan turut ditambah untuk para pengguna lebuh raya lebih peka dan dapat merancang pemanduan dengan lebih berhemah; iaitu pada 1km sebelum dan 500m sebelum bermula ‘Smart Lane’; pada setiap 500m di dalam ‘Smart Lane’; dan pada 200m sebelum tamat ‘Smart Lane’.
Ketika ‘Smart Lane’ diaktifkan, lorong paling kiri sedia ada atau lorong kecemasan akan dibuka sebagai laluan tambahan yang boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang untuk sementara waktu, sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya.
Begitupun, tarikh dan masa untuk setiap lokasi ‘Smart Lane’ diaktifkan adalah berbeza mengikut keperluan dan pola trafik di lokasi terbabit.
Pengurus besar kanan operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusuf Abdul Aziz menyifatkan adalah menjadi satu kesalahan jika menyalahgunakan lorong kecemasan tanpa sebab-sebab tertentu.
Katanya, ia adalah laluan khas sepertimana yang diketahui, kecuali di lokasi-lokasi ‘Smart Lane’ yang diaktifkan.
“Jika ada kenderaan pihak berkuasa seperti ambulans atau polis, berilah kerjasama dan laluan kepada mereka untuk melalui ‘Smart Lane’ kerana ia juga masih lorong kecemasan untuk memudahkan kerja-kerja menyelamat jika ada keperluan,” pesan beliau.
BACA JUGA: Imam di Makkah pun solat pakai cermin hitam, begitulah kalau dah busuk hati