Terima wang ihsan, Kelantan rakam penghargaan buat Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Kelantan hari ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM58.6 juta.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan, wang ihsan adalah satu bentuk terimaan yang sememangnya diperuntukkan dalam Bajet Negeri.

“Semua terimaan dan perbelanjaan yang terdapat dalam Bajet Negeri diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Kerajaan Negeri berharap penyaluran wang ihsan dapat diteruskan dengan pembayaran secara berjadual berdasarkan prinsip dan semangat persekutuan,” katanya lapor Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri sentiasa telus dalam melaksanakan sebarang peruntukan demi kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

Untuk rekod, pada minggu lalu Kerajaan Persekutuan menyalurkan wang ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, bertujuan membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan selain itu, bayaran RM103.1 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk obligasi kerajaan negeri kepada kontraktornya.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), sebarang baki wang ihsan akan tetap digunakan untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

”Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri.

“Ini dicerminkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024,” kata MOF.

BACA JUGA Ingatkan kerja umum raya dan puasa je, tak tahu pula ini tugas Penyimpan Mohor Besar Raja-raja