Pemuda Pas jauhkan diri dari Hezry Yasin

Pemuda Pas Johor mengakui terkilan dengan satu hantaran yang dibuat oleh Hezry Yasin berkenaan “Doa Sultan sewaktu Khutbah Jumaat”.

Ketuanya, Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz berkata, Hezry tidak lagi memegang jawatan sebagai Exco Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor seperti yang digembar-gemburkan.

Jelasnya, kali terakhir Hezry menjadi Exco adalah pada 2021.

Siasatan Harapandaily mendapati Hezry juga adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Amzad Hashim, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, ketika beliau adalah timbalan menteri.

Tugas utama setiausaha sulit timbalan menteri adalah menjaga hal ehwal politik untuknya.

Ahmad Nawfal (kiri) dan Hezry Yasin

Dalam pada itu, Pemuda Pas Johor menegaskan bahawa pendirian dan pandangan Hezry merupakan pendirian peribadi dan tidak mewakili Pas apatah lagi sayap parti itu.

Menurutnya, Pas dan Pemuda Pas negeri sentiasa kekal menjunjung institusi Raja Berpelembagaan bahkan mempertahankannya ketika ada kelompok yang cuba untuk mengganggu gugat melalui Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Pemuda Pas Johor yakin bahawa Pemuda Pas Selangor tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hezry Yasin.

“Pemuda Pas Johor menyeru agar ahli-ahli dan masyarakat sentiasa bertenang. Kami melahirkan rasa kesal dengan pandangan peribadi Hezry.

“Kami percaya dengan tindakan beliau memadamkan hantaran tersebut adalah kerana beliau sedar atas kesilapan dan tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya lagi menerusi hantaran di Facebook.

BACA JUGA Ini sebab kenapa KKM arah henti jualan ‘Kingu Ginseng Candy’