Politik label dan sektarian

Oleh LIYANA MARZUKI

Ada penyokong muda Pas marah akan posting saya. Bila saya sebut “Republik Syiah Iran” dia kata saya hentam Pas.

Walhal, tiada satu rujukan kepada Pas saya buat dalam posting itu. Saya tak faham kenapa dia terasa sangat. Seolah-olah hanya Pas sahaja yang akan sokong tindakan Iran.

Dia kata jangan rujuk Iran sebagai Republik Syiah. Tetapi Republik Islam. Hakikatnya, Iran mempunyai populasi Syiah tertinggi di dunia. 90% rakyat Iran anuti fahaman Shiah dan hanya 10% sahaja Sunni.

Kenapa penyokong Pas yang ni panas dengan fakta?

Dalam posting saya itu juga, saya katakan Iran berhak mempertahankan negara mereka kerana Israel yang memulakan perbalahan. Kita faham kenapa serangan dron dibuat.

Tetapi pentaksub parti dan golongan politaik membaca kata posting itu mempertahankan Israel celah mana pun saya tak faham, mana datang pemikiran yang ni?

Itu sebab ajar anak kita jangan taksub parti atau personaliti. Benda mudah pun mereka habis la dok pusing.

Tidak berkenan

Masa saya kecil, politik kebencian dibuat berterusan kepada fahaman Syiah. Buat orang di Malaysia takut dan benci akan mereka.

Sekarang sedikit berubah, bila orang parti agama seperti Presiden Pas secara terbuka menyokong Iran dan Taliban.

Apabila Presiden Pas secara terbuka hadir persidangan ulamak Syiah di Iran beberapa kali. Hingga ditempelak Kesatuan Ulamak Islam Sedunia. Ditegur oleh Presiden KUIS Ulamak Besar, Dr Yusof Al-Qardawi.

Sekarang saya perhatikan, politik kebencian kurang sudah dibuat ke atas Syiah, mereka lebih kerap mengecam Wahabi. Apa sahaja yang tidak berkenan di hati, dicop wahabi. Kurang sudah isu Syiah vs Sunni.

Saya dapat rasakan, selepas Iran menentang Israel secara berdepan, ramai akan sedikit terbuka dengan Syiah Iran.

Mereka akan dilihat sebagai hero Islam. Berbanding dengan sect Sunni yang mana dilihat pro Arab Saudi.

Apabila parti agama berubah arah, memandang Syiah Iran sebagai hero pula, Wahabi (sebahagian besarnya di Arab Saudi) akan dijadikan musuh utama.

Semua yang tidak kena, akan dapat cop baru – Wahabi semata-mata kurang sudah dicop Syiah.

Cukup senang politik label ini berubah.

Pada saya, polemik sektarian ini bukan kerana fahaman agama. Hanya kerana kepentingan politik yang menjadi puncanya.

Itulah sejarahnya dulukala. Perpecahan Syiah vs Sunni adalah kerana perebutan kuasa.

BACA JUGA ‘Boikot ni masa ana bersama penyokong, sesama kami tak mengapa’