Tanggung kerugian AS$1.35 bilion pintas peluru berpandu, dron Iran

Rejim zionis Israel menanggung kerugian sehingga lima bilion shekel (AS$1.35 bilion) untuk memintas puluhan peluru berpandu dan dron Iran.

Bekas penasihat kewangan kepada ketua kakitangan Israel, Brigadier Jeneral Ram Aminach, berkata kos pertahanan semalam dianggarkan antara empat dan lima bilion shekel (AS$1.08 hingga AS$1.35 bilion).

“Saya hanya bercakap mengenai pemintasan terhadap apa yang dilancarkan oleh Iran dan bukannya kecederaan yang kecil kali ini.

“Satu peluru berpandu ‘Arrow’ digunakan untuk memintas peluru berpandu balistik Iran berharga AS$3.5 juta, manakala kos satu peluru berpandu ‘Magic Wand’ adalah AS$1 juta, sebagai tambahan kepada kumpulan pesawat yang terbabit dalam memintas dron Iran,” kata Aminach, lapor Agensi.

Sebelum itu, akhbar Israel, Haaretz memetik jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari sebagai berkata, kira-kira 350 peluru berpandu dan dron dilancarkan dari Iran ke Israel, kebanyakannya berjaya dipintas.

Hagari mengesahkan, kerosakan kecil berlaku di pangkalan udara Nevatim di Beersheba, manakala ’99 peratus daripada ancaman terhadap Israel sudah dipintas’.

“Sebanyak 25 daripada 30 peluru berpandu jelajah dipintas dan daripada lebih 120 peluru berpandu balistik, hanya beberapa daripadanya menembusi wilayah Israel dan mendarat di pangkalan udara Nevatim,” katanya.

Dia menegaskan percubaan Iran untuk memusnahkan keupayaan tentera udara Israel gagal dan pangkalan Nevatim terus beroperasi.

Sementara itu, Iran menganggap serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel adalah sebagai ‘selesai’, sambil memberi amaran kepada rejim Zionis supaya tidak bertindak balas.

Tindakan balas itu dilakukan Tehran berikutan serangan maut Israel terhadap bangunan konsulat Iran di Damsyik.

BACA JUGA ‘Boikot ni masa ana bersama penyokong, sesama kami tak mengapa’