Alif Syukri kena saman RM70 juta

RM70 juta. Itu jumlah tuntutan saman daripada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman, atas dakwaan memfitnah.

Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu memfailkan saman selaku plaintif terhadap Aliff Syukri, 37, sebagai defendan pada 6 September 2023.

Abdul Kadir, 84, berkata usahawan berkenaan mengeluarkan kenyataan fitnah di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Beliau mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan jutaan ringgit.

Gambar plaintif juga diletakkan pada kenyataan yang mengundang komen negatif daripada pembaca.

Selain tuntutan RM70 juta, Abdul Kadir meminta ganti rugi yang dinilai mahkamah dan perintah supaya defendan memberi aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif.

Defendan juga dituntut melakukan permohonan maaf tanpa syarat disiarkan di akaun media sosial usahawan terbabit selama tujuh hari.

Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan pula mendakwa membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 membabitkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

“Pihak-pihak dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang dilaburkan saya dan segala pelanggaran janji sedemikian termasuk aku janji diberikan kepada saya adalah dalam pengetahuan plaintif sendiri,” kata Aliff.

BACA JUGA 4 golongan sasar ini dikenalpasti KPKM untuk subsidi