Selepas Johor, Pemuda Pas Selangor pula jauhkan diri dari Hezry, bahkan serah kepada polis untuk siasat

Selepas Pemuda Pas Johor, Pemuda Pas Selangor pula menjauhkan diri dari Hezry Yasin dan lebih parah lagi menyerahkan beliau kepada polis untuk membuat siasatan.

Ini berikutan tindakan bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Amzad Hashim ketika beliau menjadi timbalan menteri itu mengajak orang ramai jangan mengaminkan doa untuk Sultan dan Raja-raja Melayu.

“Pemuda PAS Selangor menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS untuk mengambil sebarang tindakan yang wajar sekiranya tindakan saudara Hezry itu melanggar displin parti.

“Bagi melunasi proses undang-undang, kami memberi sepenuh kepercayaan kepada PDRM bagi menjalankan siasatan selanjutnya,” kata Setiausaha Pemuda Pas Johor Selangor, Aubidullah Fahim dalam satu kenyataan beliau.

Katanya kenyataan dibuat Hezry baru-baru ini tidak mewakili pendirian Pas dan bertentangan dengan dasar perjuangan mereka.

Sebelum ini, Pemuda Pas Johor mengakui terkilan dengan satu hantaran yang dibuat oleh Hezry berkenaan “Doa Sultan sewaktu Khutbah Jumaat”.

Ketuanya, Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz berkata, Hezry tidak lagi memegang jawatan sebagai Exco Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor seperti yang digembar-gemburkan.

Jelasnya, kali terakhir Hezry menjadi Exco adalah pada 2021.

BACA JUGA Pemuda Pas jauhkan diri dari Hezry Yasin