Chegubard, Papagomo, Salim kena panggil SKMM

Tiga individu yang umum dikenali anti kerajaan Madani dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk rakaman percakapan esok.

Mereka terbabit ialah Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo).

Menerusi kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan rakaman percakapan untuk Chegubard dan Salim Iskandar akan dijalankan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.

Sementara itu, Papagomo pula di Balai Polis Setapak.

“Rakaman percakapan ini susulan aduan berkenaan kandungan yang dimuat naik menerusi laman media sosial yang disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Jelas SKMM lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,” katanya.

BACA JUGA Alif Syukri kena saman RM70 juta