‘Anak-anak teruja lihat telur dan tembikai’

“Alhamdulillah, gembira melihat isteri dan anak-anaknya kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza.”

Demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha membawa pulang, sekali gus menyatukan keluarga seorang rakyat Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dengan isteri dan anak-anaknya pada hari terakhir Ramadhan, baru-baru ini.

Dalam catatannya, Nadir menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah watak utama dan apa yang dilakukan oleh beliau dan pembantunya adalah ‘Misi Gila’.

Nadir menyifatkan misi itu sebagai ‘Misi Gila kerana bukan mudah untuk mengeluarkan keluarganya di saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan.

Hari ini, pemimpin berusia 76 tahun itu memaklumkan beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat bertemu dengan Nadir dan keluarganya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

”Kami berbicara panjang terkait penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarganya keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.

”Saudara Nadir turut berkongsi kisah yang begitu mengesankan, di mana anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana,” kata Anwar dalam satu catatan di Facebook beliau, sebentar tadi.

Dalam catatan sama, Anwar turut mendoakan agar saudara Nadir dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.

”Insya-Allah, saya akan terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin,” ujar Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

BACA JUGA: Belajar dari Singapura – Bina rumah RM300,000 tapi dijual RM60,000