Belajar dari Singapura – Bina rumah RM300,000 tapi dijual RM60,000

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina rumah bernilai RM300,000 tapi dijual pada harga RM60,000.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, model baharu perumahan awam yang dinamakan Program Residensi Rakyat (PRR) itu menyaksikan subsidi dari kerajaan berjumlah RM240,000.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pas Setiu (PN) Shaharizukirnain Abdul Kadir mempersoal tindakan KPKT membawa masuk pakar dari agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Shaharizukirnain berkata, negara mempunyai banyak pakar perancangan bandar yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

Menurut Kor Ming, PRR akan menjadi kawasan perumahan yang bersepadu, mampan, berbaloi untuk didiami, mempunyai daya maju komersial berkualiti, ruang hijau, pusat komuniti dan ciri-ciri lain.

Jelasnya, setiap unit PRR menawarkan golongan berpendapatan rendah rumah berkualiti dengan bayaran harga berperingkat (piecemeal price).

“Di bawah PRR baharu, kos RM300,000 seunit akan dijual pada harga RM60,000. Daripada RM60,000 itu, kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 akan diperuntukkan untuk dana penyelenggaraan dan dana terikat.

“Akan ada juga moratorium iaitu dalam masa 10 tahun, anda tidak boleh menjual unit PRR, kerana kita tidak mahu pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas perumahan sosial, kerana ini ialah keistimewaan untuk diberikan subsidi yang besar,” katanya dipetik Bernama.

Syarat beli unit rumah PRR ialah menduduki kediaman itu dengan tidak boleh menjual atau sewakan kepada orang lain selama 10 tahun.

Selepas tempoh 10 tahun, boleh dijual tetapi perlu membayar kembali subsidi RM240,000 yang kerajaan beri semasa beli rumah sebelum ini.

BACA JUGA Projek lebuh raya PJD Link dibatalkan