Projek lebuh raya PJD Link dibatalkan

Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link).

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

“Jemaah Menteri membuat keputusan tidak akan melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD Link yang memohon lanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat.

“Kerajaan menolak permohonan itu.

“Sebelum ini pihak syarikat sudah memohon dua kali lanjutan bagi memenuhi syarat ditetapkan. Akibat daripada kegagalan itu, maka projek terbabit tidak diteruskan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Untuk rekod, PJD Link sepanjang 34.3 kilometer itu adalah lebuh raya bertingkat setinggi 23 meter dan mempunyai dua plaza tol.

Projek PJD Link sebelum ini dibatalkan pada 2015, tetapi diluluskan semula pada 2022 untuk menangani kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang.

Dua lagi lebuh raya baru yang diluluskan pada 2022 bagi tujuan itu adalah Lebuhraya Bangi-Putrajaya (BPE) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL NODE).

Penduduk sekitar taman perumahan Petaling Jaya membantah projek PJD Link yang akan merobohkan banyak rumah penduduk dengan sebahagiannya merupakan warga emas yang sudah lama menetap di kawasan tersebut.

Beberapa bangunan komersial termasuk yang baru siap dibina juga perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek PJD Link.

BACA JUGA “Tak nak sediakan peguam untuk kita ke?” Cytro PN ‘tag’ nama Muhyiddin, Wan Fayhsal