Gara-gara tiada air, pelajar kolej vokasional di Kelantan terpaksa belajar secara ‘online’
Pelajar Kolej Vokasional Tanah Merah diarah untuk pulang ke kediaman masing-masing ekoran masalah bekalan air yang sangat kritikal.
Menerusi surat pekeliling yang tersebar di media sosial, pihak pengurusan kolej didakwa mengarahkan agar sesi pengajian dijalankan secara atas talian bermula semalam.
Dalam masa sama, pelajar diarah pulang semula ke asrama pada 20 April ini.
“Makluman pengajian secara online kerana kolej mengalami masalah bekalan air yang sangat kritikal.
“Pelajar yang tinggal di asrama dibenarkan pulang ke rumah pada 15 April 2024 pada jam 3 petang dan hadir ke asrama pada 20 April jam 3 hingga 6 petang. Pada 21 April (Ahad), sesi pengajian akan berjalan seperti biasa.
“Diharap semua ibu bapa atau penjaga dapat memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran secara online mengikut jadual PdP kelas masing-masing dengan berkesan,” maklum surat berkenaan.
Surat tersebut turut dilihat ditandatangani Pengarah Kolej Vokasional Tanah Merah, Che Asran Md Amin.
Susulan tularnya surat tersebut, ia menarik perhatian banyak pihak yang bimbang dengan fokus dan kualiti pembelajaran anak-anak mereka sekiranya masalah bekalan air terus berlarutan.
Mereka juga bertanya di mana janji pentadbiran Pas Kelantan untuk membangunkan bekalan air bersih.
“Masalah semakin teruk. Apa resolusinya? Sejahterakah begini?
“Kelantan Maju Rakyat Sejahtera” motto Pas-PN masa Pilihan Raya Negeri (PRN) entah ke mana.
“Salah satu daripada 18 tawaran PRN dahulu, ialah Pas Kelantan menjanjikan pembangunan bekalan air bersih. Janji tinggal janji.. rakyat ditipu lagi,” kata pengguna Facebook bernama Mohd Khier.
BACA JUGA 4 perkara penting tingkatkan keselamatan KLIA
Â