Ini sebab mengapa jabatan dan agensi di bawah KPKM diarah tumpu 4 perkara utama tahun ini

Setiap jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarah menumpukan kepada empat fokus utama tahun ini bagi menjamin sumber makanan negara mencukupi dan terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, strategi dan langkah yang lebih komprehensif juga perlu diambil untuk mengatasi kebergantungan negara kepada bekalan import produk pertanian dari luar negara.

”Setiap agensi dan jabatan di bawah KPKM perlu mencapai setiap petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan di awal tahun.

”Pemantapan serta pemerkasaan agensi dan jabatan adalah perlu bagi menjamin segala dasar dan inisiatif kementerian dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam satu catatan di Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Mohamad telah mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet kementeriannya di Wisma Tani, Putrajaya.

Pada 28 Mac lalu, portal ini melaporkan bahawa KPKM komited untuk meneruskan aspirasi dalam menjamin bekalan makanan dalam negara mencukupi.

Menurut sebuah Video di TikTok @semakfakta, Mohamad telah menetapkan empat fokus utama kementeriannya yang akan diberikan keutamaan tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menggariskan empat fokus utama tersebut adalah seperti industri padi, bawang, ayam dan telur serta nanas.

BACA JUGA: ‘Anak-anak teruja lihat telur dan tembikai’