Kerajaan akan wujud RUU baharu selaraskan keselamatan pintu masuk negara

Rang undang-undang baru untuk membentuk agensi penyelaras badan pengawal sempadan negara akan dibentuk, umum kerajaan.

“Kita jangka dalam masa yang tidak terlalu lama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bawa satu rang undang-undang (RUU) supaya ada satu agensi penyelaras antara beberapa agensi terbabit untuk mengawal selia pintu masuk negara.”

Itu penjelasan jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil ketika ditanya sama ada mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan mengenai kejadian tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Ahad lalu.

Beliau berkata, kerajaan akan mewujudkan satu RUU baharu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk negara.

Menurut Fahmi lagi, RUU yang sedang dirangka oleh KDN itu akan membolehkan satu agensi penyelaras mengawal selia pintu masuk negara.

”Kita jangka dalam masa yang tidak terlalu lama KDN akan membawa satu RUU supaya ada satu agensi penyelaras antara beberapa agensi terlibat untuk mengawal selia pintu masuk negara.

”Ia akan mempunyai punca kuasa daripada segi undang-undang untuk mereka beroperasi dengan kuasa secukupnya.

“Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya lapor Kosmo.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata aspek keselamatan di semua pintu masuk negara sentiasa diutamakan bagi menjamin tahap keselamatan dan mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pada 14 April lalu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi di Balai Ketibaan KLIA .

Suspek berusia 38 tahun itu melepaskan tembakan dipercayai menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.

Lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu kelmarin dan direman tujuh hari sehingga 22 April ini.

Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

BACA JUGA: KDN tempatkan PGA di KLIA lakukan rondaan keselamatan