Penduduk Cina terharu video bantu Melayu lancarkan jalan masa malam raya dipuji ramai

Seorang penduduk di Kampung Baru Palawan dekat Langkap, Pahang tidak menyangka usaha kecil penduduk kampungnya yang membuka jalan bagi memudahkan orang Melayu pulang ke ibu kota mendapat perhatian di media sosial.

“Kami sangat senang hati dapat tolong semua” kata Lee Weng Foong, 52, selepas menerima pujian masyarakat seluruh negara.

Dia merupakan salah seorang daripada kumpulan penduduk kampung yang membantu pada waktu itu.

“Terkejut juga apabila video kami tular dan rasa terharu menerima pujian ketika membaca komen positif netizen yang menghargai usaha kami itu.

“Terima kasih atas penghargaan itu, kami hanya membantu sekadar yang boleh asalkan mereka dapat pulang dengan selamat. Itu yang lebih penting,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Kredit foto Sinar Harian

Penduduk, Chung Kok Keong, 53, berkata, jalan ladang kelapa sawit itu sudah lama menjadi jalan alternatif bagi mengelak kesesakan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, malam Sabtu itu situasi agak pelik apabila banyak kenderaan yang berpatah balik menyebabkan dia tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya.

“Jalan ladang sejauh tiga kilometer ini memang sudah menjadi jalan pintas buat pengguna jalan raya yang mahu mengelak kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan.

“Cuma malam itu pelik sedikit apabila banyak kenderaan berpatah balik. Kami tahan sebuah kereta dan baru tahu rupanya ada jalan berbukit serta rosak teruk yang tidak boleh dilalui,” katanya.

Menurut Kok Keong, dia bersama beberapa penduduk lain sepakat mahu membantu meratakan jalan tersebut bagi memudahkan pengguna jalan raya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Jadi kami menghubungi rakan yang mempunyai jengkaut yang sudi bantu meratakan jalan tersebut agar semua kenderaan boleh melepasinya.

“Kami hanya fikir untuk bantu mereka balik kerana kerja-kerja meratakan jalan itu sekejap saja, tidak sampai 10 minit dan malam itu berpuluh-puluh kereta dapat melepasi laluan itu,” katanya.

Terdahulu tular video dari seorang pengguna Facebook yang melahirkan rasa kagum dengan keprihatinan ditunjukkan penduduk Cina di kawasan berkenaan ketika melalui kawasan ladang kelapa sawit yang gelap itu.

Video itu mendapat perhatian meluas yang rata-ratanya terharu dengan muhibbah ditunjukkan bangsa lain.

BACA JUGA “Tak nak sediakan peguam untuk kita ke?” Cytro PN ‘tag’ nama Muhyiddin, Wan Fayhsal