‘Rumput baru selesa sikit nak susun pentas dan speaker’

Netizen dilihat berseloroh mengaitkan dengan penganjuran konsert di Padang Stadium Nasional, Bukit Jalil susulan pengumuman derma rumput hibrid oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hal ini memandangkan padang yang merupakan gelanggang keramat Harimau Malaya itu kerap rosak akibat penganjuran siri konsert.

“Rumput baru selesa sikit nak susun pentas dan speaker.

“Lepas ni boleh buat konsert lagi. Mesti penonton duduk atas padang rasa empuk.

“Baru sedap sikit bunyi konsert, rumput padu,” demikian antara sindiran warganet.

Reaksi itu susulan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail berkenan untuk mendermakan rumput hibrid yang ketika ini sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

JDT dalam satu kenyataan berkata, hasil kaji selidik yang dijalankan di padang Stadium Nasional menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih sesuai ditanam di padang itu.

Menurut JDT, rumput hibrid memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

“Inisiatif itu dititahkan oleh baginda selepas mengadakan pertemuan bersama Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan serta Datuk Seri Windsor John, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” kata JDT dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Tunku Ismail turut berkenan menaja penukaran rumput di Stadium Nasional daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.

Namun, keadaan padang yang digunakan bukan hanya untuk acara sukan menyebabkan rumput Zeon Zoysia itu sering mengalami kerosakan.

Dalam pada itu, rumput Zeon Zoysia yang sebelum ini ditanam di Stadium Nasional akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN).

“Padang tersebut sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak negara,” kata kenyataan itu lagi.

BACA JUGA 4 perkara penting tingkatkan keselamatan KLIA