Lelaki disyaki dera anak berlakon menangis ketika rumah didatangi polis
Lelaki yang disyaki mendera anak kandungnya berusia enam bulan sehingga maut, sempat berlakon menangis dan meratap hiba bersungguh-sungguh ketika ahli keluarga dan polis datang ke kediamannya di Selangor.
Itu antara ‘wayang’ yang ditunjukkan kononnya terkejut bayi itu meninggal tiba-tiba ketika sedang tidur.
Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa, Aysar, enam bulan, maut disyaki didera bapa kandungnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Lapor Harian Metro yang memetik sumber, ketika awal kejadian suspek mendakwa bayinya itu mati mengejut dan hanya disedari dia dan isteri sekitar 7 pagi, Isnin lalu.
Sumber itu berkata, beberapa ahli keluarga pasangan itu yang kebetulan menetap di kawasan Semenyih bergegas ke rumah suspek sejurus menerima panggilan kecemasan.
Suspek yang membuka pintu kediaman kemudian menangis kesedihan dengan mendakwa bayinya mati tanpa diketahui punca sebenar.
“Pada masa sama isterinya berusia 21 tahun hanya menangis dan tidak dapat menjelaskan punca kejadian.
“Anggota polis yang menjalankan siasatan lokasi kejadian turut mengesyaki sesuatu tidak kena apabila suspek memberikan maklumat bercanggah berhubung kedudukan tubuh mangsa.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dan ibunya baru pulang ke rumah selepas menyambut hari raya di rumah keluarganya di Subang Jaya, Selangor, Ahad lalu.
“Pada malam kejadian,ibu mangsa dan seoranglagi anaknya berusia duatahun pergi berhari rayadi rumah saudara di kawasan berhampiran,” katanya seperti dilapor akhbar tersebut.
Menurut sumber itu lagi, bayi tersebut ditinggalkan bersendirian bersama bapanya di rumah berkenaan dan kejadian dera dipercayai berlaku ketika ibu mangsa tiada di rumah.
“Suspek bertindak membalut kemas bayi itu sebelum diletakkan di atas katil.
“Bagaimanapun ibu bayi itu dilarang menyentuh mangsa yang didakwa sedang tidur sebelum menyedari bayi itu sudah tidak bernyawa,” katanya.
Terdahulu, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan pada mayat bayi berkenaan yang bukan disebabkan oleh kemalangan tetapi perbuatan jenayah.
Berikutan itu, polis menahan bapa mangsa di pekarangan Unit Forensik hospital berkenaan pada jam 11.30 malam hari sama.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
BACA JUGA Budak TikTok pelik kenapa takbir raya zaman ‘Madani’ cuma satu hari