Mengapa saya tidak menyertai Pas?

Oleh NORMAN RADZUAN

Memang benar sejak di sekolah menengah lagi saya mula menampal poster Pas dengan gam hingus di tiang-tiang elektrik.

Benar dalam politik, saya menggunakan platform Pas kerana percaya UMNO itu kafir.

Benar saya banyak mengorbankan wang ringgit membantu Pas sejak 1999 setiap kali menjelang pilihan raya.

Benar saya juga antara orang bertakbir kuat di depan pentas ceramah tetapi saya tidak pernah menjadi ahli Pas.

Foto ini apabila rakan Pas meminta saya membawa Allahyarham Bob Lokman berceramah di Manjung.

Saya ambil tiket penerbangan, sampai lapangan terbang menyewa kereta dan terus ke Pulau Pinang mengambil Bob Lokman untuk dibawa ke Manjung. Nak bantu Pas punya pasal saya lakukan.

Di era 90-an saya tidak percaya lagi UMNO itu kafir hasil kematangan dan pembelajaran ilmu.

Pun begitu saya bersama Pas kerana Anwar disingkir oleh Mahathir dari UMNO. Apa pilihan yang ada kerana di era itu perlawanan hanya antara UMNO vs Pas.

Seterusnya, saya tertarik dengan akhlak Ustaz Fadhil Nor dan Tuan Guru Nik Aziz. Mereka ada ciri-ciri yang boleh saya terima sebagai pemimpin atau guru.

Foto saya bergambar bersama Allahyarham Bob Lokman dan Ustaz Halim. Kami singgah di sebuah Restoran Nasi Kandar di Butterwoth kerana Ustaz Halim nak belanja makan.

Dalam perbualan kami bertiga, rupanya Ustaz Halim juga mempunyai pandangan yang serupa dengan saya. Bob Lokman tidak sepatutnya memilih platform politik dalam usaha dakwahnya.

Alasan kami Bob Lokman akan terbatas kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Rugi agama. Dakwah Bob akan hanya disukai dan didengari oleh penyokong Pas sahaja.

Sedangkan jika memilih jalan dakwah di platform jamaah Islam yang tidak terlibat secara langsung dengan politik, suara Bob Lokman akan didengari oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira warna parti.

Arwah tetap memilih jalan politik. Saya pula pilih jalan dakwah melalui jamaah dakwah. Kami menghormati pilihan masing-masing. Kita tidak boleh memaksa.

Sejarahnya berulang kali menulis, saya memilih menyertai al Arqam dan tabligh. Kenapa? Saya dapat apa yang saya mahukan iaitu kedamaian dan nilai-nilai akhlak yang saya cari terutama dalam jamaah al Arqam.

Bercakap dengan baik

Kedua, jamaah ini mengajar saya sifat mahmudah dengan bercakap baik, mengajar jangan berburuk sangka dengan orang lain, jangan menghina orang lain, jangan menyesatkan orang lain, jangan memfitnah orang lain dan berdakwah dengan penuh akhlak.

Malah, saya diajar agar melihat diri sendiri sebagai pendosa dari orang lain. Itu yang saya tidak jumpa dalam Pas. Saya hanya jumpa untuk membenci lawan yang tidak bersama perjuangan parti ini.

Ceramah ustaz parti tentulah menghentam lawan. Malah, dalam kuliah-kuliah agama (bukan semua) tetap menyelitkan juga unsur politik menghina org bersama UMNO ketika itu.

Secara peribadi, saya tidak melihat ketokohan Tuan Guru Hadi Awang seperti ketokohan sejarah Maulana Elyas atau Sheikh Ashaari dalam membawa nilai-nilai akhlak dalam jamaahnya.

Saya seorang yang detail. Tanyalah staf saya sama ada di Sabah mahu pun di KL. Jadi, saya melihat di media sosial nilai-nilai buruk ahli parti ini, pengikut atau penyokong memaki hamun lawan mereka.

Saya jadi lebih meluat kerana kononnya sebuah parti Islam tetapi penggunaan ayat menghina seperti planta, liwat, jubo, HIV, bontot, body shaming dan bermacam-macam lagi tidak menggambarkan nilai-nilai sebuah parti Islam.

Abdul Hadi Awang

Itu belum masuk fitnah-fitnah sehingga berpuluh saman dibawa ke mahkamah. Sebab itu, dalam berhujah di media sosial saya tidak akan menggunakan ayat-ayat jijik itu. Saya hanya berhujah dengan fakta dan bukan dengan cacian.

Malah, mana-mana mereka yang komen di wall saya menghina keterlaluan dengan ayat yang jijik kepada Tuan Guru Hadi Awang, saya minta delete atau saya deletekan.

Bagi saya, kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan sampai mengaibkan atau menggunakan ayat yang jijik.

Anwar bukan pendendam

Saya seorang yang tabayyun atau pemikiran kritis. Jadi, saya tidak boleh terima parti yang mengaku Islam mempunyai nilai akhlak sebegitu rupa.

Sebagai seorang insan yang mencari iman lantas tertanya mengapa ketua atau presiden parti yang kononnya parti Islam ini tidak pernah menegur ahli dan penyokongnya jangan menghina lawan dengan ayat jijik seperti itu.

Rasulullah SAW contoh terbaik. Usahkan ayat lucah seperti itu. Hendak memanggil orang bukan Islam kafir tidak dilakukan baginda.

Malah, baginda menghalang umatnya menghina orang bukan Islam dengan kata-kata yang tidak enak didengar.

Lantaran Presiden Pas tidak menegur jangan menghina musuh politiknya, saya merasakan ini bukan jamaah atau parti yang sesuai dengan diri saya.

Walaupun PKR parti yang dituduh Islam Liberal pernah seseorang ajukan mengapa kita tidak menyerang Azmin Ali sedangkan bukan sekadar khabar angin tapi lengkap dengan video dirakam adegan tersebut beserta CCTV hotel lagi.

Itu tidak dilakukan kerana insan bernama Anwar Ibrahim bukan pendendam.

Boleh sahaja dia arahkan tuduhan kepada Azmin dengan mengheret tilam hotel ke mahkamah tetapi umum tahu Anwar ini pemaaf tahap dewa. Kadang-kadang sampai ahli naik geram dengan sikap Presiden mereka.

Sebab itu, Imam Malik memberitahu belajar adab dahulu sebelum belajar ilmu. Ini kerana adab itu lebih tinggi berbanding ilmu. Tiada guna jika berilmu jika tidak beradab.

Dalam erti kata lain, mereka yang dituduh jahil agama ini jika beradab jauh lebih mulia dari mereka yang tidak tahu beradab.

Islam untuk saya bermula dengan akhlak (adab), berdakwah dan bukan menghukum apatah lagi menghina.

Saya suka mendampingi orang berilmu walaupun saya bukan dalam kalangan mereka. Jika saya terpandang mereka tidak beradab dengan secara beradab saya akan tinggalkan mereka.

BACA JUGA Kerajaan setuju salur peruntukan kepada pembangkang, tapi kena tunggu ini dulu

Â