Syarikat penerbangan, pengendali pesawat disaran pantau maklumat berkaitan debu gunung berapi

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud mengingatkan orang ramai yang terlibat dengan kawasan berkenaan, agar sentiasa peka dengan maklumat dikeluarkan.

“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa peka dengan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan.

“Kami telah mengeluarkan maklumat keselamatan berhubung Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia yang telah memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Norazman, maklumat keselamatan itu dikeluarkan berikutan letusan Gunung Ruang, Manado, Sulawesi Utara, Indonesia yang mula meletus pada jam 9.45 pagi, kelmarin.

Katanya, kesan letusan itu telah menyebabkan terbentuk awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara berkenaan.

BACA JUGA Kerajaan setuju salur peruntukan kepada pembangkang, tapi kena tunggu ini dulu