“Di London dah ada Walanon!”, ramai terkejut tengok Mat Saleh ralit dengar ucapan PMX

Klip video seorang pemandu Uber di London yang menonton video Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian ramai.

Menerusi perkongsian seorang pengguna X bernama Ainur Hassim, pemandu itu dikatakan adalah peminat Perdana Menteri.

Dan video ucapan PMX yang sedang dimainkan dari YouTube pemandu itu adalah mengenai pendirian Malaysia terhadap Hamas dan mengutuk hipokrasi negara-negara barat.

“Di London juga ada Walanon. My Uber driver is a certified fanboy,” seloroh Ainur.

Ainur berkata, pemandu Uber itu sendiri yang mahu menunjukkan kepadanya video yang membuatkan dia meminati Anwar.

“Masa itu trafik perlahan dan pemandu Uber itu bertanya jika saya okay (untuk dia buka video PMX semasa memandu). 

“Dia hanya menunjukkan video mana yang membuatkan dia minat (Anwar),” kata Ainur.

Ternyata perkongsian tersebut menarik perhatian ramai yang teruja apabila masyarakat biasa di luar negara turut mengenali Perdana Menteri Malaysia.

Mereka menganggap Perdana Menteri kini ‘mendunia’ (terkenal) pula di London.

“British yang tak dapat menahan diri (dari kagum). Wow,” seloroh pengguna akaun Bicara Minda Merdeka.

“Pergh PM kita mendonia,” komen pengguna lain.

“Walanon mendunia. Walaun bila pula,” seloroh pula yang lain.

Untuk rekod, panggilan tidak rasmi ‘walanon’ mulanya digunakan oleh pihak pembangkang terhadap penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui kerajaan Madani pada masa ini.

“Walanon” merupakan gabungan kata “wala” atau setia manakala “non” merujuk pada gelaran “Bang Non” yang sejak dulu diberi oleh keluarga Anwar.

BACA JUGA Lambakan kampit beras dibuang angkara sorok supaya naik harga?