Pemimpin Pas tak sangka PMX berani keluar dari zon ‘playsafe’
Seorang pemimpin Pas mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersuara lantang dalam membela saudara seIslam di Palestin.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, suara lantang Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia sudah tentu memberi kesan jauh berbeza berbanding kedudukannya sebelum ini yang hanya pemimpin sebuah organisasi sivil dan pemimpin sebuah parti politik.
“Saya sendiri tidak menyangka, Datuk Seri Anwar Ibrahim berani keluar dari zon “playsafe”, setelah beliau melihat kekejaman terhadap rakyat Palestin semakin memuncak.
“Reaksi kuasa besar terhadap Malaysia kesan daripada suara lantang Datuk Seri Anwar seperti boleh dijangka, bahkan sudah pun dirasai kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara jujur, Zuhdi berkata, beliau melihat situasi hari ini sangat memerlukan kesemua pemimpin umat Islam di Malaysia untuk duduk semeja dan berdiri sepentas.
Tindakan itu, jelasnya, bukan hanya untuk memperkukuhkan solidariti membela saudara seIslam di Palestin.
Malah, ujarnya, bersama-sama menongkah cabaran getir yang bakal dihadapi oleh Malaysia disebabkan solidariti tersebut.
“Jangan jadikan cabaran getir itu sebagai “air keruh untuk ditangguk”, sebaliknya jadikan ia sebagai “kiambang untuk ditaut”.
“Sekiranya semasa zaman Perdana Menteri keempat dan Perdana Menteri keenam boleh berlaku, mengapa pada zaman Perdana Menteri kesepuluh tidak boleh?” tambah Zuhdi lagi.
BACA JUGA Menteri Kabinet buat senaman ringan lepas mesyuarat