Peserta Gaza Freedom Flotilla dijangka berlepas 21 April ini

Peserta Gaza Freedom Flotilla termasuk dari Malaysia dijangka berlepas pada 21 April ini.

Pengerusi Biro Antarabangsa, Parti Amanah Negara (AMANAH), Raja Bahrin Shah berkata, peserta pada masa ini berkumpul di Istanbul untuk kursus serta latihan keselamatan bagi persiapan terakhir.

“Kemungkinan tentera rejim Zionis Israel mengepung dan menangkap perserta apabila cuba menghantar bantuan dijangka mungkin akan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, seorang sukarelawan Malaysia, Prof Afandi Salleh bersama dengan ahli misi Malaysia di Istanbul untuk memberi bantuan nasihat, koordinasi dan tunjuk ajar kepada peserta.

Jelasnya, Prof Afandi pernah ditahan di penjara Israel apabila menyertai pasukan bantuan ke Gaza pada 2018.

“Marilah kita berdoa untuk keselamatan peserta. Semoga mereka selamat menghantar bantuan dan selamat pulang ke tanah air masing-masing,” kata Raja Bahrin.

Semalam, rombongan pasukan Malaysia untuk Flotilla Antarabangsa ke Gaza telah selamat tiba dan berkumpul di Istanbul.

Menurut Raja Bahrin, pasukan Malaysia diketuai oleh Pengerusi MyCare, Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin bersama 18 ahli misi yang lain.

Antaranya, Dr. Fauziah Hassan iaitu bekas ahli misi Women Boat to Gaza yang pernah ditawan Israel pada 2016.

Sementara itu, ahli misi yang bertugas semasa di Istanbul ialah CEO Mycare, Kamarul Zaman Anwar dan Prof Dr. Mohd Afandi Salleh yang merupakan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta felo Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Mycare.

Sekatan Israel

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, antara tujuan utama misi pelayaran Flotilla ke Gaza adalah untuk memecahkan sekatan dan kepungan rejim Zionis Israel.

Ujarnya, tentera penjajah menghalang penghantaran bekalan makanan, perubatan dan keperluan hidup asas harian untuk penduduk Palestin di Gaza.

Beliau menegaskan sekatan Israel secara berterusan telah membawa kesengsaraan yang tidak terhingga kepada penduduk Gaza khususnya.

“Pasukan sukarelawan antarabangsa dari puluhan negara antaranya termasuk dari Malaysia, Turkiye, Britain, Amerika Syarikat (AS), Greece, Indonesia, Australia, Jerman, Itali, Jordan, negara-negara Afrika serta Amerika Selatan adalah antara yang telah tiba.

“Salah seorang tokoh antarabangsa veteran utama adalah seorang bekas Duta Amerika Syarikat (AS) berusia 80 tahun, Kolonel Anne Wright, wanita bekas tentera Amerika yang menjadi antara pengerak utama antarabangsa Flotilla ke Gaza,” kata Raja Bahrin lagi yang menulis dari Istanbul.

BACA JUGA Sanusi akan hadir sambutan Aidilfitri Madani, nak hantar ‘wishlist’ Kedah kepada PM