Sanusi akan hadir sambutan Aidilfitri Madani, nak hantar ‘wishlist’ Kedah kepada PM

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau akan hadir sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani yang akan diadakan di Tasik Bandar Darulaman pada 4 Mei depan.

Menurutnya, beliau sudah ada senarai hasrat Kedah atau ‘wishlist’ yang mahu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perjumpaan rasmi di sebelah petang.

Program yang dijangka dihadiri Anwar itu akan berlangsung pada sebelah malam, sementara di sebelah petang pula Anwar juga dijadualkan mengadakan perjumpaan rasmi di pejabat Sanusi di Wisma Darul Aman.

“Kita akan adakan majlis raya (malam), selain itu Perdana Menteri akan hadir ke Wisma Darul Aman untuk acara rasmi kerajaan pada hari sama.

“Saya sudah bersedia untuk menyuarakan hasrat Kedah atau ‘wishlist’ kepada Perdana Menteri dalam perjumpaan tersebut,” katanya pada sidang media semalam.

Sanusi bagaimanapun enggan mendedahkan senarai permohonan Kedah yang akan dibentangkan dalam pertemuan bersama Anwar.

“Saya sudah senaraikan (wishlist Kedah), saya harap ia dapat ditunaikan. Mana boleh habaq (beritahu) lagi, saya perlu habaq PM dulu,” katanya.

Sanusi berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam penganjuran Rumah Terbuka Madani tersebut.

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di tujuh negeri bermula di Johor, diikuti Sabah pada 20 April, Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.

Penganjuran majlis itu bagi memupuk semangat muhibah dan perpaduan kalangan masyarakat serta membolehkan pemimpin beramah mesra dengan rakyat.

BACA JUGA Terkini: Beras dan barangan dapur dibuang rupa-rupanya milik bekas MP Kuala Krau