Rakyat dapat pelepasan cukai RM1,000 bagi pembelian peralatan sukan, semak syarat KBS ini

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan pelepasan cukai untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

Susulan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan yang telah diteliti.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pelepasan itu akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan .

Menurut beliau, perbelanjaan yang dibenarkan adalah untuk kegunaan diri sendiri, suami isteri atau anak.

“Antara jenis pelepasan cukai individu berkaitan perbelanjaan sukan layak dituntut termasuk pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] tidak termasuk basikal dua roda bermotor.

“Selain itu, bayaran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan dan juga bayaran fi pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan.

“Ia termasuk juga yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau juga mengingatkan untuk membuat semakan awal sama ada penyedia latihan sukan mematuhi syarat dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.

Hannah turut memberitahu, pelepasan cukai bagi yuran menyertai latihan sukan adalah skop baharu yang dimasukkan untuk perbelanjaan yang dibuat oleh individu bermula pada tahun 2024.

Kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai adalah latihan secara ‘one-off’ atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus, bengkel dan sebagainya.

Ini, katanya, termasuk jenis sukan seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Beliau berkata, penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan, syarikat berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.

“Perbelanjaan yuran latihan sukan perlu dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian,” katanya.

BACA JUGA Masalah amat penting belum selesai tapi mahu bina empangan bawah tanah pula