Terkini: Beras dan barangan dapur dibuang rupa-rupanya milik bekas MP Kuala Krau

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said hari ini membuat pengakuan beliaulah pemilik longgokan beras yang ditemui di tempat pembuangan sampah di tepi jalan di Rumpun Makmur.

Dalam satu kenyataan hari ini Ismail berkata, beliau mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap isu yang berlaku dan menjelaskan bahawa beras serta barangan dapur lain yang dibuang itu telah pun tercemar dengan bangkai tikus dan kutu beras

Menurutnya bukan kesemua kampit beras itu dibuang, tetapi ada sebahagian telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar.

“Pada tarikh 5 April 2024, saya telah menerima aduan daripada jiran yangmenyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapurtersebut.

“Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk/kutu beras.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai keranatercemar.

“Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan,” jelasnya.

Ismail sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Krau selama empat penggal, namun tewas  mengejut kepada calon Perikatan Nasional (PN), Kamal Ashaari dengan majoriti 1,024 undi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang lalu.

Ismail yang juga calon Barisan Nasional (BN) sekadar mendapat 21,481 undi manakala Kamal pula mendapat 22,505.

Sementara itu Ismail menegaskan, barangan dapur itu disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh PRU ke 15 pada tahun 2022.

Umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

Pembelian barangan dapur itu juga dimaklumkan tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang.

“la juga tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir,” katanya.

Beliau turut memohon maaf dan menyesali apa yang telah berlaku.

“Saya mengambil tanggungjawab dan sangat menyesali perkara ini. Saya memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Mat Sabu arah Kawalselia Padi segera siasat timbunan beras di tapak pelupusan