Halus tapi berbisa, giliran Adam Adli tegur hantaran lancang Akmal singgung PM
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abd Halim mengingatkan rakan pemuda dari Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adam berkata, sebagaimana PKR sepakat menonjolkan sikap hormat kepada Presiden Umno dan berhati-hati dalam memilih perkataan, mengapa Akmal tidak melakukan perkara sama terhadap presiden mereka.
“Apa sangat harganya untuk saudara ambil sikap yang sama terhadap Presiden kami, pimpinan utama kita, Perdana Menteri sendiri?
“Yang disinggung oleh saudara itu Presiden kami, Perdana Menteri kita semua.
“Mungkin saudara bukan “walanon” tetapi saudara tetap salah seorang Ketua Pemuda dalam gabungan parti pemerintah hari ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Pada masa sama Akmal berkata, sebagai ketua pemuda salah sebuah parti pemerintah dan juga seorang wakil rakyat, Akmal sepatutnya menyuarakan pandangan menerusi saluran yang betul sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan dan bukan secara terbuka sehingga boleh menjejaskan hubungan kerjasama.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan Akmal yang cenderung memulakan pergeseran tidak membantu dalam mencapai apa yang terbaik buat semua.
“Saudara Akmal Saleh mungkin boleh bertenang dan pandang kiri kanan sikit dalam mengeluarkan kenyataan samada peribadi mahupun rasmi.
“Mungkin Saudara ada semangat tinggi untuk membela Dato’ Seri Najib; itu ikrar Saudara yang kita tidak pernah larang kalau pun ada berbeza pandangan.
“Cuma percayalah, menimbulkan suasana yang cenderung memulakan pergeseran sebegini tidak membantu pun dalam mencapai apa yang terbaik buat semua,” ujarnya.
Sebelum ini Akmal yang jugaAdun Merlimau itu mempersoalkan kenyataan Anwar yang menyatakan afidavit difailkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, dibuat atas kapasiti sebagai Presiden Umno.
BACA JUGA Nurul Ain pula buka cerita kepada media “PM turut bantu saya keluar dari Gaza”