Nurul Ain pula buka cerita kepada media “PM turut bantu saya keluar dari Gaza”

Kisah ‘misi gila’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha membawa keluar keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari bumi Gaza mendapat perhatian ramai.

Terbaru selepas kisah itu tular, seorang lagi rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Palestin iaitu Nurul Ain Haron turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri menjadi antara sosok penting yang membantu dia dan suami keluar daripada tanah bergolak itu tahun lalu.

Menceritakan detik ‘bebas’ dari Palestin Nurul Ain berkata, tidak semua orang boleh dipindahkan ke tempat selamat kerana ia ditentukan olehPenyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (Kogat) Israel, namun atas usaha dan gesaan Anwar, mereka dapat keluar daripada negara berkenaan.

“Proses itu tidak mudah sebab yang menentukan siapa yang boleh dipindahkan ini bukan Perdana Menteri Malaysia, Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Zamani Ismail atau pihak Mesir kerana Kogat Israel itu yang menentukannya.

“Ambil masa yang sangat lama sebab mereka hanya boleh menggesa dan berjumpa Perdana Menteri Mesir sendiri.

“Alhamdulillah, terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Seri Anwar yang dapat keluarkan saya dan suami dahulu, juga kepada Menteri Luar, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan tak lupa pada mereka yang bertungkus lumus,” katanya memetik Sinar Harian baru-baru ini.

Nurul Ain berkata demikian susulan berita menggembirakan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri yang telah bersatu bersama isteri dan anak-anaknya di tanah air.

Pada 13 November tahun lalu, Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan Nurul Ain bersama suami, warga Palestin selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia) pada Ahad.

BACA JUGA Beza pemikiran antara Zuhdi dan Akmal, kamu nak apa sebenarnya