Tular dinding McDonald dicemari vandalisme, diconteng perkataan boikot

Tular di media sosial sebuah restoran makanan segera popular iaitu McDonald diconteng oleh individu tidak bertanggungjawab dengan perkataan ‘boikot’ dan ‘Free Palestine’.

Menurut maklumat orang awam, insiden itu berlaku di McDonald Tawau, Sabah.

Perbuatan vandalisme yang dilakukan terhadap restoran berkenaan dikecam pengguna media sosial yang rata-ratanya menganggap tindakan tersebut sebagai melampau.

Ia dibimbangi boleh mencetuskan keburukan yang jauh lebih besar seperti insiden membaling bom petrol atau molotov cocktail di sebuah kedai serbaneka popular.

Biarpun seruan boikot adalah hak kebebasan masing-masing, namun bertindak jauh dengan menganiaya sebuah perniagaan yang halal adalah tidak wajar.

Begitupun menurut maklumat lain, individu yang menconteng dinding McDonald di Tawau didakwa telah pun ditangkap namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Dalam hantaran berasingan, seorang pengguna X turut berkongsi wajah sebuah papan tanda McDonald yang telah dicemari dengan vandalisme dan kata-kata yang berbunyi;

“Boikot pembunuh boikot”.

“Darah Palestinian di tangan kamu”.

“Bebaskan anak Palestin”. – Demikian antara perkataan yang disembur pada papan tanda yang dikatakan terletak di Sungai Petani.

Sementara itu, rangkaian kopi popular Starbucks di Sabah turut dilapor dicemari dengan contengan perkataan boikot.

Starbucks adalah antara jenama yang digesa oleh kebanyakan aktivis untuk diboikot berikutan aktiviti genosid oleh rejim Israel di Gaza.

Pun begitu ramai menyuarakan persoalan tentang motif perbuatan vandalisme yang dilakukan.

Mereka mengakui bahawa boikot adalah satu cara untuk menyuarakan sokongan terhadap Palestin, namun vandalisme adalah tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan dalam membantah sesuatu isu.

BACA JUGA Halus tapi berbisa, giliran Adam Adli tegur hantaran lancang Akmal singgung PM

Â