Tun Hanif Omar meninggal dunia 11 Syawal

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) yang keempat, Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia jam 2.15 pagi tadi, 11 Syawal pada usianya 85 tahun.

Anak Allahyarham, Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff mengesahkan perkara tersebut.

“Dengan perasaan amat dukacita.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

“Saya, Abdul Rahmat Omar bin Mohamed Haniff, ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah Ayahanda kami yang dikasihi, Tun Haji Mohammed Hanif bin Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,” kata Abdul Rahmat dalam kenyataan ringkas.

Allahyarham mencipta rekod sebagai Ketua Polis Negara paling muda dan paling lama berkhidmat iaitu selama 20 tahun.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo-Chinese di Ipoh dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Allahyarham seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera di Singapura pada 1959.

Selepas itu, beliau menyambung dalam bidang undang-undang dan menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Undang-undang dari University of Buckingham di London.

Dilantik sebagai KPN ketika berusia 35 tahun pada 8 Jun 1974, Tun Hanif Omar menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah terbunuh ditembak komunis.

Beliau yang dilahirkan di Teluk Intan, Perak dilantik menjadi Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970, dan Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.

Suami kepada Toh Puan Hamidah Abdul Hamid itu kemudiannya menjadi Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Februari 1973.

Selepas bersara pada Januari 1994, Tun Hanif dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004 hingga 2005.

Menurut portal OrangPerak.com, Tun Hanif merupakan cucu kepada pengasas daerah Kampar, Mohammad Jabar Bardot atau dikenali dengan nama Ngah Jabor dan Imam Prang Jabor.

BACA JUGA Setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan ada kaedah tersendiri