Julang perjuangan reformasi, amanat buat ahli PKR
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua anggota parti itu bahawa sekarang bukan masanya untuk terpukau dengan kuasa yang dimiliki.
Sebaliknya beliau berkata, anggota parti perlu terus menjulang dan menyemarakkan perjuangan reformasi serta memastikan parti keramat itu menjadi gergasi dalam sistem politik negara.
”Saya mengingatkan semua anggota di peringkat nasional, negeri, cabang mahu pun ranting untuk terus perkukuh jentera parti dengan memantau secara dekat setiap pelaksanaan program.
”Saya juga telah mengarahkan pimpinan parti untuk membantu jentera di bawah bagi memberikan penerangan terkait agenda serta inisiatif Kerajaan Madani kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya dalam satu catatan di Facebook beliau, hari ini.
Dalam catatannya itu, Anwar turut memaklumkan bahawa hari ini beliau menyampaikan amanat kepada pimpinan dan anggota KEADILAN sempena Konvensyen 25 Tahun parti itu yang diadakan di Shah Alam, Selangor.
Anwar yang juga Perdana Menteri juga mengakui wujud harapan menggunung untuk kerajaan pimpinannya melaksanakan janji-janji reformasi.
Namun, pemimpin berusia 76 tahun itu menyifatkan, ia perlu dijalankan secara bijaksana dan tidak tergesa-gesa dalam merealisasikan perubahan agar tidak mengorbankan kepentingan jangka panjang.
BACA JUGA: PKR kurang menyengat? Ini sebabnya, terang Rafizi
Â