PKR kurang menyengat? Ini sebabnya, terang Rafizi

PKR kini kurang menyengat kini berbanding dahulu kerana ia sudah membentuk kerajaan perpaduan kata timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Sebahagian besar pimpinan kita (PKR) adalah pimpinan kerajaan (ketika ini). Justeru apabila bercakap sebagai kerajaan kita terikat dengan dasar dan kerahsiaan serta aturan pentadbiran,” katanya pada konvensyen khas PKR sempena sambutan 25 tahun parti itu di Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama dia yang juga menteri ekonomi menjelaskan PKR tidak boleh dilihat bersikap terlalu terlalu menyerang (offensive) kerana mereka perlu mengimbangi tugas sebagai kerajaan.

Pun begitu, Rafizi berkata, di sebalik cabaran dilalui parti, sebahagian besar ahli tetap bermotivasi membawa usaha reformasi yang menjadi asas kepada gerakan PKR.

“Parti ini lebih besar daripada parti politik semata-mata kerana ini adalah keluarga kita selama 25 tahun yang lepas.

“Motivasi terbesar kita mengekalkan kesetiaan kepada parti ialah kerana parti ini adalah kawan-kawan dan keluarga kita yang telah jatuh bangun bersama dalam perjuangan parti,” tambahnya.

Rafizi juga memberitahu pada suatu ketika ahli dan aktivis PKR memang dikenali sebagai individu mahir menganjur demonstrasi sehingga ia membantu parti berkenaan bertahan selama suku abad.

Mereka yang menjadi antara pelopor ceramah politik melalui media alternatif atau sosial medial seperti Facebook.

Pun begitu, kata Ahli Parlimen Pandan, kemahiran tersebut kini diciplak oleh pihak lawan dan digunakan pula bagi menyukar serta menggugat kerajaan perpaduan.

“Itu (kemahiran dulu) kekuatan yang kita bina dari awal yang sekarang ini telah digunakan oleh lawan untuk melawan kita.

“Sekarang ini kita lihat kemahiran itu diciplak oleh orang yang pernah berada dalam Keadilan (PKR). Dia gunakan untuk tembak kita.”

BACA JUGA: Reformasi tidak bergantung kepada bilangan jawatan yang dipegang

Â