Peserta Flotilla ke Gaza, berdemo depan Grand Bazaar Turkiye
Grand Bazaar di Istanbul, Turki menjadi lokasi peserta Gaza Freedom Flotilla berkumpul hari ini bagi menguar-uarkan secara meluas mengenai misi penghantaran bantuan ke Gaza.
Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, demonstrasi itu bertujuan meminta kelulusan awal daripada Kerajaan Turkiye untuk mereka berlepas dalam waktu terdekat ke Gaza dari pelabuhan negara tersebut.
”Disebabkan begitu ramai peserta antarabangsa sudah menunggu di Turkiye, kami mendesak tarikh perlepasan paling awal, memandangkan tarikh asal iaitu pada 12 April telah ditunda.
”Walaubagaimanapun semangat peserta masih tinggi dan berkobar-kobar untuk membuat persediaan dan latihan,” katanya dalam kenyataan yang ditulis dari Istanbul.
Pada 19 April lalu, seramai 19 peserta dari Malaysia yang menyertai misi ‘Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla’ itu, tiba di Istanbul, Turkiye pada 2.47 petang (waktu tempatan).
Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasaruddin Mustapha, pada sidang media baru-baru ini memaklumkan 19 warga Malaysia itu terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.
Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof, dan jurukamera Bernama TV, Mohammad Nulhakim Jailan.
Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April lalu untuk persiapan akhir sempena misi ‘Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla’.
BACA JUGA: SOP aktiviti luar bilik darjah sekolah: KKM, KPM bakal lakukan sesuatu
Â