SOP aktiviti luar bilik darjah sekolah: KKM, KPM bakal lakukan sesuatu

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti luar bilik darjah sekolah di seluruh negara.

Susulan kematian seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun ketika menyertai aktiviti merentas desa kelmarin, Dzulkefly menyifatkan ianya perlu dijadikan pengajaran bagi mewujudkan satu SOP yang lebih tuntas.

“Saya pada awal sudah menegur perkara ini, namun mungkin tidak ada satu tindakan yang tegas, tuntas dan jelas.

“Bagi saya, perlu ada satu SOP yang jelas mengenainya. Saya yakin Menteri (Fadhlina Sidek) dan Pengarah Jabatan Pendidikan akan meningkatkan penguatkuasaan mereka,” katanya lapor Kosmo, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta semua ibu bapa agar sentiasa memantau tahap kesihatan anak-anak mereka.

“Jika ada yang mempunyai masalah kesihatan tertentu, mereka perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah.

“Saya tahu mungkin ada pihak sekolah terlepas mengemaskini rekod kesihatan pelajar, namun saya yakin KPM akan menanganinya kelak,” ujarnya.

Pada 19 April lalu, seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata remaja berkenaan menyertai sukan anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain kira-kira jam 8 pagi.

“Larian sejauh tujuh kilometer (km). Kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa menghampiri garisan penamat, tiba-tiba dia dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri.

”Guru yang ada di lokasi dikatakan memberikan bantuan pernafasan, tetapi remaja itu tiada tindak balas. Kemudian pihak sekolah menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.

Syahrul berkata, berdasarkan keterangan bapa pelajar, remaja itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN).

BACA JUGA: Umno perlu bangkit semula…