Reformasi tidak bergantung kepada bilangan jawatan yang dipegang

Agenda reformasi yang dibawa PKR mesti diterjemahkan melalui dasar dan program untuk rakyat, bukannta bilangan jawatan dan peranan dalam kerajaan, kata setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kejayaan reformasi, sama ada di mata kita atau di mata rakyat, akan diukur dengan kejayaan kita menterjemahkannya untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Ia bukan melalui berapa ramai menteri, atau menteri besar, exco, ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (Adun).

“Itu bukan ukuran kejayaan kita,” tegasnya semasa berucap pada konvensyen khas ulang tahun ke-25 PKR yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Saifuddin berkata perwakilan perlu belajar daripada pengalaman gerakan reformasi lalu – yang gagal di negara lain – kerana pemimpinnya mengabaikan cita-cita pembaharuan mereka selepas mengambil alih kerajaan.

Memetik gerakan reformasi yang di Afrika dan Eropah, menteri dalam negeri itu berkata pemimpin di negara terbabit meninggalkan aspirasi masing-masing apabila mereka mula ‘mengumpul kekayaan’ untuk kepentingan peribadi.

“Ketika mereka menjadi pembangkang, mereka menderita; apabila mereka menjadi kerajaan dan menikmati faedah (menjadi kerajaan), mereka lupa prinsip asas perjuangan mereka.

“Sebaliknya, mereka mengumpul kekayaan – yang tidak membawa kejayaan kepada perjuangan reformasi,” tambahnya.

Terdapat kritikan kuat secara umum terhadap PKR kerana agenda reformasi kelihatan seperti dikebelakangkan.

Antaranya ada yang menganggap tiada sebarang peningkatan dan kemajuan yang ketara apabila Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

BACA JUGA: Parti derita, jangan terlena dengan pangkat, kuasa